Saturday, March 13, 2010

FAQ - Kecergasan vs Kesihatan

Saudara Safiee bertanya : “Apakah kaitannya diantara kecergasan dengan kesihatan?”


Secara asasnya, tiada kaitan yang langsung diantara kecergasan dan kesihatan (dari aspek medical atau perubatan). Seorang yang cergas tidak semestinya sihat, dan seorang yang sihat tidak semestinya mempunyai kecergasan yang tinggi.

Kecergasan banyak diberi kesan oleh tahap aktiviti fizikal, manakala kesihatan lebih banyak diberi kesan oleh gaya hidup dan pemakanan.

Sebagai contoh, seorang kenalan penulis yang menjadi jurutunjuk senamrobik (kecergasan tinggi) dengan badan yang slim, didapati mempunyai tekanan darah tinggi (masalah kesihatan) kerana tabiat setiap kali makan mesti ada kicap (tabiat pemakanan berlebihan garam).

Walaubagaimana pun, jika kita tanya mana-mana pengamal perubatan, mereka pasti akan mengesyorkan kecergasan dan gaya hidup aktif sebagai langkah pencegahan dan bantuan pemulihan dari hampir semua penyakit dan masalah kesihatan, kerana kecergasan yang tinggi dapat membantu menghindar dan mengurangkan kesan dari masalah kesihatan.

Misalnya, jika kenalan saya di atas tidak aktif melalui senamrobik, kesan tekanan darah tinggi yang dihidapi nya mungkin lebih teruk dan lebih cepat terasa.

Malangnya perkara ini selalu nya di ”salah guna” dan terlepas pandang oleh remaja dan orang-orang muda. Kerana kecergasan yang masih baik oleh kerana faktor usia muda, ramai yang mengabaikan kesihatan, sebagai contoh dengan menjadi perokok tegar, makan makanan segera berlemak tinggi dan antaranya meminum minuman beralkohol. Kesan dari gaya hidup yang tidak sihat ini ”diselindung” oleh tahap kecergasan yang masih tinggi semasa muda tetapi akan dirasa kesan nya semakin usia meningkat.

Maka untuk kesejahteraan hidup yang optima pada jangka masa panjang, kedua-dua aspek kecergasan dan kesihatan perlu diambil berat dan dijaga dari sekarang.

No comments: