Saturday, March 13, 2010

FAQ - Kecergasan dan Produktiviti

Saudara Safiee bertanya : “Bagaimana signifikan kecergasan khususnya dikalangan kakitangan kerajaan terhadap produktiviti kerja?”


Pertama dan utama, produktiviti bergantung secara langsung dengan sikap dan motivasi individu pekerja itu. Tahap kecergasan tidak memberi banyak kesan jika sikap dan motivasi pekerja itu terhadap pekerjaan tidak pada tahap yang baik.

Walaubagaimana pun, jika andaian ialah pekerja itu mempunyai sikap yang baik dan motivasi yang tinggi, sudah tentu kecergasan memberi impak kepada produktiviti kerja. Semakin tinggi tahap kecergasan (dan secara korelasi nya semakin baik tahap kesihatan), semakin tinggi produktiviti kerja kerana pekerja mampu melakukan kerja dengan lebih pantas, lebih lama dan kurang cuti sakit.

Dari kacamata majikan dan pengurusan, sememangnya tahap kecergasan dan kesihatan pekerja amat penting kerana meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos perubatan dari segi kewangan dan juga hari-hari kerja yang “terbuang” kerana cuti sakit.

Tetapi bagi kebanyakan pekerja, faktor kos ini tidak terasa, terutama kakitangan kerajaan, kerana kos perubatan itu ditanggung sepenuhnya oleh majikan (Kerajaan) termasuk cuti sakit dengan gaji penuh. Ramai yang tidak mengambil berat faktor kecergasan dan kesihatan kerana jika sakit sikit-sikit boleh pergi ke klinik dengan pembiayaan penuh majikan dan jika cuti sakit 2-3 hari gaji masih tetap diterima. Jadi kenapa perlu bersusah payah, bersenam sampai berpeluh, menjaga pemakanan, untuk menjaga kecergasan dan kesihatan jika tidak ada kesan (i.e. kerugian) kewangan secara langsung kepada diri sendiri (sekurang-kurangnya pada masa terdekat)?

Melainkan pekerja itu memang secara peribadi memahami dan berminat, sebenarnya tidak ada “insentif” untuk pekerja kakitangan Kerajaan khasnya untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan diri kerana kos kesan dari tidak cergas dan tidak sihat ditanggung hampir sepenuhnya oleh majikan (Kerajaan) oleh kerana kemudahan perubatan yang diberi kepada pekerja dan pesara.

No comments: