Sunday, March 28, 2010

FAQ: Mengurangkan Lemak Badan

  • “Adakah dengan berlari sahaja boleh menguruskan badan atau terdapat jenis senaman yang lain untuk menguruskan bahagian tertentu badan kita?”
  • ”Apakan cara yang paling cepat berkesan menguruskan badan selain daripada pembedahan buang lemak?”
  • ”Bagaimanakah caranya/ cara senaman/ pemakanan untuk meningkatkan kadar metabolisme bagi mereka yang berada dalam lingkungan umur 35 ke atas yang mula mengalami pertambahan berat badan dan lemak disebabkan kadar metabolisme yang menurun. Ini kerana rejim senaman yang biasa dilakukan kurang mendatangkan kesan terhadap pengurangan lemak terutama di bahagian perut dan ini menjadi lebih sukar sekiranya secara keturunan akan menjadi gemuk dan boroi apabila umur menjengah 40an”


Mitos pertama yang perlu dibetulkan ialah ada nya cara untuk menghilangkan lemak pada bahagian tertentu badan. Contoh yang paling banyak didengar ialah jika perut boroi atau buncit, buat senaman duduk tubi (sit ups) untuk menguruskannya.

Mitos ini ditambah lagi dengan ledakan pusat-pusat kecantikan dan body sculpting yang menjanjikan bentuk badan yang menggiurkan dengan mudah, dengan penggunaan alat-alat canggih dan urutan pecah lemak dan sebagainya. Untuk membuktikan keberkesanan, biasanya gambar “before and after” menunjukkan pengurangan lemak dan bentuk badan baru pelanggan-pelanggan selepas menjalani rawatan. Tetapi apa yang tidak ditunjukkan ialah apa yang saya istilahkan gambar “after the after”, apa yang terjadi kepada pelanggan berkenaan selepas beberapa lama, mungkin beberapa tahun selepas itu. Banyak kes dimana, selepas mengalami penurunan berat badan dan perubahan bentuk badan dalam masa yang singkat melalui program-program pantas tertentu, beberapa lama selepas itu berat dan bentuk badan akan kembali seperti asal jika tidak disusuli dengan perubahan gaya hidup, senaman dan penjagaan makanan yang berterusan.

Apabila otot-otot bekerja, samada melalui aktiviti fizikal atau senaman, lemak adalah salah satu sumber bahanapi (fuel) yang akan dibakar sebagai tenaga. Lemak yang dibakar ini tidak dapat dikawal dari mana ia datang; samada lemak dari perut, lemak dari punggung, lemak dari lengan dan pelbagai tempat lagi. Apa yang pasti, jika anda melakukan senaman yang mencukupi secara konsisten (dan menjaga pemakanan), badan anda secara keseluruhan nya akan menjadi lebih trampil (lean) apabila lemak badan turun secara keseluruhannya, termasuk dari kawasan perut.

Apa yang boleh anda kawal ialah senaman untuk menguatkan otot-otot tertentu. Senaman sit-ups dan planks misalnya, menguatkan otot-otot bahagian tengah badan termasuk perut, manakala push-ups menguatkan otot-otot tangan dengan kesan sampingan kepada otot-otot bahagian tengah badan. Tetapi kebiasaan nya kita tidak mampu melakukan senaman penguat otot-otot ini dalam tempoh yang cukup lama untuk membakar lemak secara ketara. Jika anda menghadkan senaman hanya kepada sit-ups misalnya, anda akan mendapat otot-otot perut yang kuat tetapi tidak semestinya tidak buncit jika lemak masih ada dikawasan perut.

Aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan untuk mengurangkan lemak ialah pergerakan yang melibatkan otot-otot besar. Lagi besar otot-otot itu, lagi banyak tenaga diperlukan (i.e. lagi banyak lemak dibakar) dan lagi lama pergerakan itu boleh dilakukan (i.e. kesempatan untuk mengujudkan keperluan membakar lemak) iaitu dipanggil kesan aerobik. Sebab itulah senaman paling biasa orang fikirkan untuk menguruskan badan ialah berlari atau jogging kerana melibatkan kaki. Otot-otot paha (quadriceps dan hamstrings) adalah 2 kumpulan otot-otot yang terbesar dalam badan kita

Kesan “menguruskan badan” yang optima dan berkekalan akan didapati apabila anda melakukan gabungan pemakanan, senaman aerobik dan senaman penguat otot-otot, secara serentak mengurang lemak dan menguat otot-otot untuk kesan yang lebih trampil.

Model terbaik mengenai kaedah gabungan ini ialah pasukan tentera (dan polis). Latihan fizikal asas ketenteraan banyak melibatkan berlari (aerobik) dan mereka juga banyak membuat latihan kekuatan otot-otot. Dua latihan unik ketenteraan yang menggabungkan kedua-dua jenis senaman ini serentak ialah jalan pantas dengan menggalas back pack yang berat dan larian merintas halangan (assault course). Hasil latihan gabungan seperti inilah kita melihat rekrut-rekrut tentera dan polis mempunyai badan yang lean (kurus dan kental).

Untuk membakar lemak yang lebih optima, senaman-senaman yang lebih berkesan ialah yang melibatkan otot-otot kaki digerakkan secara “menolak”. Contoh senaman-senaman menolak berat badan keatas ialah squats, step-ups, hill run, steps run, box jumps dan squat jumps.

Untuk mengurangkan lemak yang berkesan pula, aktiviti fizikal atau senaman haruslah dilakukan dengan intensiti sederhana dan tinggi. Aktiviti fizikal yang berintensiti rendah tidak akan memberi kesan mengurang lemak seperti yang diharapkan walaupun tetap lebih baik dari tiada membuat apa-apa aktiviti. Sebab itu lah kita lihat ada sesetengah orang yang telah lama melibatkan diri dalam senamrobik tidak menunjukkan pengurangan lemak badan secara ketara kerana kemungkinan sesi senamrobik yang mereka lalui tidak cukup tinggi intensiti untuk memberi kesan membakar lemak yang signifikan. Ini terutama untuk senamrobik awam yang biasa diadakan secara percuma di tempat-tempat awam, kerana jurutunjuk samada tidak cukup terlatih untuk meningkatkan intensiti atau terpaksa mengambilkira peserta-peserta yang bercampur-campur tahap kecergasan mereka.

Cara paling berkesan untuk meningkatkan metabolisme, iaitu kadar badan kita membakar lemak, ialah dengan gabungan senaman intensiti sederhana/tinggi dan senaman menolak berat badan seperti diatas. Salah satu kesan penting gabungan ini ialah metabolisme kita akan terus kekal tinggi untuk beberapa ketika selepas bersenam, iaitu lemak akan terus dibakar walaupun kita telah berhenti bersenam. Lagi tinggi intensiti amnya lagi lama kesan metabolisme tinggi ini.

Saturday, March 13, 2010

FAQ - Kecergasan dan Produktiviti

Saudara Safiee bertanya : “Bagaimana signifikan kecergasan khususnya dikalangan kakitangan kerajaan terhadap produktiviti kerja?”


Pertama dan utama, produktiviti bergantung secara langsung dengan sikap dan motivasi individu pekerja itu. Tahap kecergasan tidak memberi banyak kesan jika sikap dan motivasi pekerja itu terhadap pekerjaan tidak pada tahap yang baik.

Walaubagaimana pun, jika andaian ialah pekerja itu mempunyai sikap yang baik dan motivasi yang tinggi, sudah tentu kecergasan memberi impak kepada produktiviti kerja. Semakin tinggi tahap kecergasan (dan secara korelasi nya semakin baik tahap kesihatan), semakin tinggi produktiviti kerja kerana pekerja mampu melakukan kerja dengan lebih pantas, lebih lama dan kurang cuti sakit.

Dari kacamata majikan dan pengurusan, sememangnya tahap kecergasan dan kesihatan pekerja amat penting kerana meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos perubatan dari segi kewangan dan juga hari-hari kerja yang “terbuang” kerana cuti sakit.

Tetapi bagi kebanyakan pekerja, faktor kos ini tidak terasa, terutama kakitangan kerajaan, kerana kos perubatan itu ditanggung sepenuhnya oleh majikan (Kerajaan) termasuk cuti sakit dengan gaji penuh. Ramai yang tidak mengambil berat faktor kecergasan dan kesihatan kerana jika sakit sikit-sikit boleh pergi ke klinik dengan pembiayaan penuh majikan dan jika cuti sakit 2-3 hari gaji masih tetap diterima. Jadi kenapa perlu bersusah payah, bersenam sampai berpeluh, menjaga pemakanan, untuk menjaga kecergasan dan kesihatan jika tidak ada kesan (i.e. kerugian) kewangan secara langsung kepada diri sendiri (sekurang-kurangnya pada masa terdekat)?

Melainkan pekerja itu memang secara peribadi memahami dan berminat, sebenarnya tidak ada “insentif” untuk pekerja kakitangan Kerajaan khasnya untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan diri kerana kos kesan dari tidak cergas dan tidak sihat ditanggung hampir sepenuhnya oleh majikan (Kerajaan) oleh kerana kemudahan perubatan yang diberi kepada pekerja dan pesara.

FAQ - Kecergasan vs Kesihatan

Saudara Safiee bertanya : “Apakah kaitannya diantara kecergasan dengan kesihatan?”


Secara asasnya, tiada kaitan yang langsung diantara kecergasan dan kesihatan (dari aspek medical atau perubatan). Seorang yang cergas tidak semestinya sihat, dan seorang yang sihat tidak semestinya mempunyai kecergasan yang tinggi.

Kecergasan banyak diberi kesan oleh tahap aktiviti fizikal, manakala kesihatan lebih banyak diberi kesan oleh gaya hidup dan pemakanan.

Sebagai contoh, seorang kenalan penulis yang menjadi jurutunjuk senamrobik (kecergasan tinggi) dengan badan yang slim, didapati mempunyai tekanan darah tinggi (masalah kesihatan) kerana tabiat setiap kali makan mesti ada kicap (tabiat pemakanan berlebihan garam).

Walaubagaimana pun, jika kita tanya mana-mana pengamal perubatan, mereka pasti akan mengesyorkan kecergasan dan gaya hidup aktif sebagai langkah pencegahan dan bantuan pemulihan dari hampir semua penyakit dan masalah kesihatan, kerana kecergasan yang tinggi dapat membantu menghindar dan mengurangkan kesan dari masalah kesihatan.

Misalnya, jika kenalan saya di atas tidak aktif melalui senamrobik, kesan tekanan darah tinggi yang dihidapi nya mungkin lebih teruk dan lebih cepat terasa.

Malangnya perkara ini selalu nya di ”salah guna” dan terlepas pandang oleh remaja dan orang-orang muda. Kerana kecergasan yang masih baik oleh kerana faktor usia muda, ramai yang mengabaikan kesihatan, sebagai contoh dengan menjadi perokok tegar, makan makanan segera berlemak tinggi dan antaranya meminum minuman beralkohol. Kesan dari gaya hidup yang tidak sihat ini ”diselindung” oleh tahap kecergasan yang masih tinggi semasa muda tetapi akan dirasa kesan nya semakin usia meningkat.

Maka untuk kesejahteraan hidup yang optima pada jangka masa panjang, kedua-dua aspek kecergasan dan kesihatan perlu diambil berat dan dijaga dari sekarang.