Tuesday, February 16, 2010

FAQ - Komponen Kecergasan

Saudara Denny Lim bertanya “Saya tidak jelas dengan maksud kecergasan. Ini disebabkan ramai kawan-kawan yang pergi ke gim tetapi apabila melakukan aktiviti joging atau pun trekking mereka kelihatan cepat lebih, tapi dari segi fizikal memang mereka fit. Adakah kecergasan dibahagikan kepada beberapa kategori. Contoh nya tahap kardiovaskular dan stamina seseorang itu?”


Tanpa melihat bentuk badan kawan-kawan yang dimaksudkan atau mengetahui apa dan bagaimana senaman yang mereka lakukan di gim, agak sukar untuk memberi jawapan yang lebih tepat mengapa situasi ini terjadi. Banyak kemungkinan yang boleh memberi kesan ini.

Walau apa pun, memang betul kecergasan itu boleh dibahagikan kepada beberapa komponen, antara nya:

i) kardio-vaskular
ii) kekuatan otot-otot (muscle strength)
iii) dayatahan otot-otot (muscle endurance)
iv) kelenturan (flexibility)
v) mobiliti
vi) komposisi badan (peratusan kandungan lemak dalam badan)

Untuk kecergasan yang optimum, kesemua komponen ini kena sama-sama dibentuk dan ditingkatkan secara holistik.

Dalam konteks ini, jika anda hendak menyertai mana-mana gim, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah siapa yang menjadi perunding dan jurulatih di gim itu?

Sesetengah gim mengambil juara bina badan sebagai jurulatih. Jika ahli bina badan itu hanya tahu bina badan dan bukan kecergasan secara holistik, maka semua perundingan dan tunjukajar ialah berat kepada senaman-senaman yang membina otot-otot yang besar. Kemungkinan aspek-aspek lain kurang diberi perhatian atau diabaikan terus, terutama kardio-vaskular, kelenturan dan mobiliti. Otot-otot yang tidak lentur dan koordinasi mobiliti yang rendah mungkin menyebabkan seseorang nampak berbadan sasa tetapi cepat penat dalam aktiviti kardio seperti yang disebutkan dalam soalan.

Ada juga gim yang dibuka oleh jurulatih aerobik, maka semua perundingan dan tunjukajar ialah berat kepada senaman aerobik walaupun mungkin bukan itu yang diperlukan oleh seseorang pelanggan itu.

Maka amat penting sesebuah gim itu mempunyai perunding dan jurulatih yang mempunyai pengetahuan mengenai kecergasan secara holistik supaya dapat memberi panduan yang sesuai dengan keperluan pelanggan.

Satu perkara yang perlu disebutkan disini ialah over-developed muscles, seperti yang terdapat pada ahli bina badan, tidak menyumbang kepada pergerakan pantas dan lincah kerana otot-otot besar itu sendiri menjadi beban yang perlu diatasi untuk bergerak dengan baik. Lihat sahaja kepada anggota-anggota UTK yang menjadi pengawal peribadi YAB PM atau TPM. Mereka tidak mempunyai otot-otot yang besar dan berketul-ketul seperti gambaran seorang pengawal peribadi atau komando dalam filem-filem (Rambo, Arnold Swarzenneger), malah otot-otot mereka lean tetapi padat. Maka mereka mampu bergerak dan bertindak dengan pantas dan lincah.

No comments: