Tuesday, February 16, 2010

FAQ - Liposuction and Shortcuts

Puan Emelia bertanya: ”Apakan cara yang paling cepat berkesan menguruskan badan selain daripada pembedahan buang lemak?”


Tidak ada cara pintas untuk membuang lemak dengan cepat dan tetap tetapi cara paling berkesan ialah dengan gabungan senaman dan pemakanan.


Liposuction Yang Sebenar

Pembedahan buang lemak (liposuction) untuk menguruskan badan demi kecergasan dan kecantikan amat TIDAK di galakkan. Ia nya patut di lakukan hanya atas sebab-sebab perubatan dan preskripsi pakar perubatan. Alhamdulillah, setakat ini dikalangan rakan-rakan dan kenalan saya, saya tidak nampak lagi sesiapa yang terlalu berlebihan lemak sehingga perlukan prosidur ini.

Ada 3 faktor utama kenapa liposuction tidak digalakkan.

Pertama, pada asasnya, setiap pembedahan ialah pencerobohan (invasion) keatas sistem dan struktur badan, dan dengan sendirinya membawa risiko walaupun kecil. Sebagai contoh, prosidur liposuction ialah menyedut keluar lemak subcutaneous, tetapi sedutan itu juga kemungkinan menyedut atau merosakkan bebuluh kecil darah (cappillaries) yang menjalar dicelah-celah lemak. Semakin banyak kawasan yang disedut lemak, semakin besar lah risiko kerosakan kepada sistem peredaran darah (vascular).

Kedua, pembedahan liposuction juga membuang lemak dengan kadar segera tetapi jangka singkat. Jika gaya hidup tidak berubah dari sebelum nya dari segi tahap aktiviti dan pemakanan, lemak akan datang kembali.

Ketiga, liposuction hanya membuang lemak subcutaneous yang kelihatan tetapi tidak dapat membuang lemak visceral yang tidak nampak tetapi lebih membawa risiko kesihatan. Lemak visceral adalah lemak yang menyelaputi organ-organ dalam badan dan meningkatkan risiko penyakit seperti kencing manis. Orang yang kurang lemak subcutaneous nampak slim tetapi belum tentu sihat jika banyak lemak visceral. Lemak visceral hanya dapat dibuang melalui senaman dan pemakanan.


Pendedahan Cara Pintas Lain

Sekarang ini banyak diiklankan kaedah-kaedah pintas untuk membuang lemak dengan mudah dan cepat, mengguna pelbagai mesin. Dakwaan asasnya, lemak boleh dibuang tanpa perlu bersenaman atau menjaga pemakanan. 2 kaedah paling popular ialah mengguna mesin getaran (vibrating machine) dan mesin pemanas (heat machine) yang digambarkan akan melonggar dan mencairkan lemak badan.

Ada juga mesin stimulasi otot-otot dengan denyutan elektrik kecil didakwa untuk menguatkan otot-otot tanpa perlu melakukan senaman, seperti contoh otot-otot perut.

Soalan lojik yang patut ditanya ialah lemak yang dilonggarkan atau dicairkan ini nak pergi kemana? Bagaimana lemak yang dilonggarkan ini hendak keluar dari badan? Bagaimana lemak yang dicairkan mengalir keluar dari badan?

Sebenarnya, mesin-mesin gegaran, pemanasan dan stimulasi elektrik ini mempunyai latarbelakang penggunaan dalam sains sukan sebagai sebahagian dari kaedah pemuliharaan (rehabilitation) para atlit dan ahli sukan dari kecederaan. tetapi telah dieksploitasikan penggunaan nya dalam industri kecantikan komersial. Perlu ditekankan lagi, keadah rawatan gegeran, pemanasan dan stimulasi elektrik hanyalah SEBAHAGIAN dari proses rawatan atlit yang cedera, yang termasuk rawatan physiotherapy dan senaman-senaman lain, tetapi pihak komersial telah menggambarkan seolah-olah dengan mengguna kaedah-kaedah ini sahaja anda boleh mencapai kecergasan dan kesihatan. Ini satu gambaran yang tidak tepat dan merbahaya.

Sebagai contoh memang ada kaedah rawatan stimulasi elektrik untuk menggerakkan-gerakkan otot-otot atlit yang cedera, untuk sebagai langkah awal memulihkan kekuatan nya. Tetapi atlit berkenaan masih perlu menjalankan physiotherapy dan senaman fizikal lain untuk memulangkan kekuatan otot-otot kepada tahap asal. Jadi memang ada asas sains dalam kaedah stimulasi elektrik ini tetapi tujuan asal dan kesan nya tidak lah seperti digembar-gembur oleh pihak komersial (contoh dapat otot-otot perut ”six pack” hanya dengan mengguna mesin stimulasi elektrik otot-otot perut).

No comments: