Showing posts with label lemak. Show all posts
Showing posts with label lemak. Show all posts

Sunday, March 28, 2010

FAQ: Mengurangkan Lemak Badan

  • “Adakah dengan berlari sahaja boleh menguruskan badan atau terdapat jenis senaman yang lain untuk menguruskan bahagian tertentu badan kita?”
  • ”Apakan cara yang paling cepat berkesan menguruskan badan selain daripada pembedahan buang lemak?”
  • ”Bagaimanakah caranya/ cara senaman/ pemakanan untuk meningkatkan kadar metabolisme bagi mereka yang berada dalam lingkungan umur 35 ke atas yang mula mengalami pertambahan berat badan dan lemak disebabkan kadar metabolisme yang menurun. Ini kerana rejim senaman yang biasa dilakukan kurang mendatangkan kesan terhadap pengurangan lemak terutama di bahagian perut dan ini menjadi lebih sukar sekiranya secara keturunan akan menjadi gemuk dan boroi apabila umur menjengah 40an”


Mitos pertama yang perlu dibetulkan ialah ada nya cara untuk menghilangkan lemak pada bahagian tertentu badan. Contoh yang paling banyak didengar ialah jika perut boroi atau buncit, buat senaman duduk tubi (sit ups) untuk menguruskannya.

Mitos ini ditambah lagi dengan ledakan pusat-pusat kecantikan dan body sculpting yang menjanjikan bentuk badan yang menggiurkan dengan mudah, dengan penggunaan alat-alat canggih dan urutan pecah lemak dan sebagainya. Untuk membuktikan keberkesanan, biasanya gambar “before and after” menunjukkan pengurangan lemak dan bentuk badan baru pelanggan-pelanggan selepas menjalani rawatan. Tetapi apa yang tidak ditunjukkan ialah apa yang saya istilahkan gambar “after the after”, apa yang terjadi kepada pelanggan berkenaan selepas beberapa lama, mungkin beberapa tahun selepas itu. Banyak kes dimana, selepas mengalami penurunan berat badan dan perubahan bentuk badan dalam masa yang singkat melalui program-program pantas tertentu, beberapa lama selepas itu berat dan bentuk badan akan kembali seperti asal jika tidak disusuli dengan perubahan gaya hidup, senaman dan penjagaan makanan yang berterusan.

Apabila otot-otot bekerja, samada melalui aktiviti fizikal atau senaman, lemak adalah salah satu sumber bahanapi (fuel) yang akan dibakar sebagai tenaga. Lemak yang dibakar ini tidak dapat dikawal dari mana ia datang; samada lemak dari perut, lemak dari punggung, lemak dari lengan dan pelbagai tempat lagi. Apa yang pasti, jika anda melakukan senaman yang mencukupi secara konsisten (dan menjaga pemakanan), badan anda secara keseluruhan nya akan menjadi lebih trampil (lean) apabila lemak badan turun secara keseluruhannya, termasuk dari kawasan perut.

Apa yang boleh anda kawal ialah senaman untuk menguatkan otot-otot tertentu. Senaman sit-ups dan planks misalnya, menguatkan otot-otot bahagian tengah badan termasuk perut, manakala push-ups menguatkan otot-otot tangan dengan kesan sampingan kepada otot-otot bahagian tengah badan. Tetapi kebiasaan nya kita tidak mampu melakukan senaman penguat otot-otot ini dalam tempoh yang cukup lama untuk membakar lemak secara ketara. Jika anda menghadkan senaman hanya kepada sit-ups misalnya, anda akan mendapat otot-otot perut yang kuat tetapi tidak semestinya tidak buncit jika lemak masih ada dikawasan perut.

Aktiviti fizikal atau senaman yang berkesan untuk mengurangkan lemak ialah pergerakan yang melibatkan otot-otot besar. Lagi besar otot-otot itu, lagi banyak tenaga diperlukan (i.e. lagi banyak lemak dibakar) dan lagi lama pergerakan itu boleh dilakukan (i.e. kesempatan untuk mengujudkan keperluan membakar lemak) iaitu dipanggil kesan aerobik. Sebab itulah senaman paling biasa orang fikirkan untuk menguruskan badan ialah berlari atau jogging kerana melibatkan kaki. Otot-otot paha (quadriceps dan hamstrings) adalah 2 kumpulan otot-otot yang terbesar dalam badan kita

Kesan “menguruskan badan” yang optima dan berkekalan akan didapati apabila anda melakukan gabungan pemakanan, senaman aerobik dan senaman penguat otot-otot, secara serentak mengurang lemak dan menguat otot-otot untuk kesan yang lebih trampil.

Model terbaik mengenai kaedah gabungan ini ialah pasukan tentera (dan polis). Latihan fizikal asas ketenteraan banyak melibatkan berlari (aerobik) dan mereka juga banyak membuat latihan kekuatan otot-otot. Dua latihan unik ketenteraan yang menggabungkan kedua-dua jenis senaman ini serentak ialah jalan pantas dengan menggalas back pack yang berat dan larian merintas halangan (assault course). Hasil latihan gabungan seperti inilah kita melihat rekrut-rekrut tentera dan polis mempunyai badan yang lean (kurus dan kental).

Untuk membakar lemak yang lebih optima, senaman-senaman yang lebih berkesan ialah yang melibatkan otot-otot kaki digerakkan secara “menolak”. Contoh senaman-senaman menolak berat badan keatas ialah squats, step-ups, hill run, steps run, box jumps dan squat jumps.

Untuk mengurangkan lemak yang berkesan pula, aktiviti fizikal atau senaman haruslah dilakukan dengan intensiti sederhana dan tinggi. Aktiviti fizikal yang berintensiti rendah tidak akan memberi kesan mengurang lemak seperti yang diharapkan walaupun tetap lebih baik dari tiada membuat apa-apa aktiviti. Sebab itu lah kita lihat ada sesetengah orang yang telah lama melibatkan diri dalam senamrobik tidak menunjukkan pengurangan lemak badan secara ketara kerana kemungkinan sesi senamrobik yang mereka lalui tidak cukup tinggi intensiti untuk memberi kesan membakar lemak yang signifikan. Ini terutama untuk senamrobik awam yang biasa diadakan secara percuma di tempat-tempat awam, kerana jurutunjuk samada tidak cukup terlatih untuk meningkatkan intensiti atau terpaksa mengambilkira peserta-peserta yang bercampur-campur tahap kecergasan mereka.

Cara paling berkesan untuk meningkatkan metabolisme, iaitu kadar badan kita membakar lemak, ialah dengan gabungan senaman intensiti sederhana/tinggi dan senaman menolak berat badan seperti diatas. Salah satu kesan penting gabungan ini ialah metabolisme kita akan terus kekal tinggi untuk beberapa ketika selepas bersenam, iaitu lemak akan terus dibakar walaupun kita telah berhenti bersenam. Lagi tinggi intensiti amnya lagi lama kesan metabolisme tinggi ini.

Monday, February 22, 2010

FAQ - Berlebihan berat badan dan Kekuatan Kaki

Saudari Siti Salwa bertanya : “Seperti yang kita sedia maklum, mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan agak sukar untuk melakukan aktiviti seperti jogging, brisk-walking mahupun aerobik, memandangkan apabila mereka melakukan aktiviti sedemikian, bahagian kaki terutamanya, menjadi pusat menampung segala berat badan yang mereka ada, ini mungkin menjadi penghalang untuk mereka melakukan aktiviti yang disenaraikan di atas dalam jangkamasa yang lebih lama walaupun, keupayaan jantung mereka agak kuat. Bagaimanakah mengatasi perkara ini dan adakah ia akan menghalang dari mencapai kecergasan yang optimum?”


Sememangnya berlebihan berat badan ini boleh menghalang dari mencapai kecergasan yang optimum, terutamanya untuk orang-orang yang kurang kekuatan otot-otot kaki.

Dalam konteks ini, selain daripada senaman aerobik seperti brisk walking, jogging dan senamrobik yang menyumbang kepada kardio-vaskular dan mengurangkan lemak, perlu dilakukan pergerakan-pergerakan atau senaman-senaman khusus untuk menguatkan otot-otot khasnya otot-otot kaki untuk meningkatkan keupayaan kaki menampung berat badan. Kaki yang kuat dapat menampung berat badan dengan lebih baik dan membolehkan seseorang melalui sesi senaman aerobik dengan lebih lama untuk memberi kesan aerobik.

Sebagai garis panduan asas, pergerakan atau senaman yang menguatkan otot-otot kaki umumnya melibatkan kaki dibengkok dan dilurus hampir melalui julat penuh pergerakan (full range of motion) dengan berat badan sebagai bebanan.

Contoh mudah dalam pergerakan harian ialah berjalan naik dan turun tangga. Walaubaimanapun perlu dinyatakan turun tangga, khasnya pada rentak bersenam, boleh membawa kepada kecederaan lutut maka perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Untuk senaman khusus pula, pelbagai variasi squats dan step ups adalah contoh senaman mengguna bebanan badan (bodyweight exercise) yang baik untuk menguatkan otot-otot kaki. Berbasikal juga merupakan senaman yang baik untuk menguatkan otot-otot kaki, tetapi memerlukan sedikit pelaburan

Perlu dinyatakan disini, senaman brisk walk dan jogging tidak dapat meningkatkan kekuatan otot-otot kaki melebihi sesuatu tahap, hanya menyumbang kepada dayatahan otot-otot (muscle endurance) berkenaan. Sesi senamrobik pula bergantung kepada kepekaan, kepakaran dan tahap kecergasan jurutunjuk. Jurutunjuk yang kurang peka, pakar atau cergas kemungkinan tidak akan melakukan pergerakan-pergerakan penguatan (strengthening movements) kerana dia tidak faham kepentingan atau akan cepat penat jika melakukannya.

Maka orang-orang yang mengamalkan brisk walk, jog atau senamrobik perlu juga melakukan senaman-senaman penguatan (strengthening exercises) termasuk untuk kaki untuk mencapai kecergasan yang optimum.

Satu pemerhatian yang saya buat dikalangan rakan-rakan yang menjadi jurutunjuk senamrobik awam, tahap kecergasan sebahagian antara mereka semakin menurun walaupun 3-4 kali seminggu melalui sesi senamrobik. Antara faktor nya ialah kerana rata-rata mereka tidak melakukan pergerakan dan senaman penguatan otot-otot kaki khasnya dalam sesi aerobik mereka.

Tuesday, February 16, 2010

FAQ - Liposuction and Shortcuts

Puan Emelia bertanya: ”Apakan cara yang paling cepat berkesan menguruskan badan selain daripada pembedahan buang lemak?”


Tidak ada cara pintas untuk membuang lemak dengan cepat dan tetap tetapi cara paling berkesan ialah dengan gabungan senaman dan pemakanan.


Liposuction Yang Sebenar

Pembedahan buang lemak (liposuction) untuk menguruskan badan demi kecergasan dan kecantikan amat TIDAK di galakkan. Ia nya patut di lakukan hanya atas sebab-sebab perubatan dan preskripsi pakar perubatan. Alhamdulillah, setakat ini dikalangan rakan-rakan dan kenalan saya, saya tidak nampak lagi sesiapa yang terlalu berlebihan lemak sehingga perlukan prosidur ini.

Ada 3 faktor utama kenapa liposuction tidak digalakkan.

Pertama, pada asasnya, setiap pembedahan ialah pencerobohan (invasion) keatas sistem dan struktur badan, dan dengan sendirinya membawa risiko walaupun kecil. Sebagai contoh, prosidur liposuction ialah menyedut keluar lemak subcutaneous, tetapi sedutan itu juga kemungkinan menyedut atau merosakkan bebuluh kecil darah (cappillaries) yang menjalar dicelah-celah lemak. Semakin banyak kawasan yang disedut lemak, semakin besar lah risiko kerosakan kepada sistem peredaran darah (vascular).

Kedua, pembedahan liposuction juga membuang lemak dengan kadar segera tetapi jangka singkat. Jika gaya hidup tidak berubah dari sebelum nya dari segi tahap aktiviti dan pemakanan, lemak akan datang kembali.

Ketiga, liposuction hanya membuang lemak subcutaneous yang kelihatan tetapi tidak dapat membuang lemak visceral yang tidak nampak tetapi lebih membawa risiko kesihatan. Lemak visceral adalah lemak yang menyelaputi organ-organ dalam badan dan meningkatkan risiko penyakit seperti kencing manis. Orang yang kurang lemak subcutaneous nampak slim tetapi belum tentu sihat jika banyak lemak visceral. Lemak visceral hanya dapat dibuang melalui senaman dan pemakanan.


Pendedahan Cara Pintas Lain

Sekarang ini banyak diiklankan kaedah-kaedah pintas untuk membuang lemak dengan mudah dan cepat, mengguna pelbagai mesin. Dakwaan asasnya, lemak boleh dibuang tanpa perlu bersenaman atau menjaga pemakanan. 2 kaedah paling popular ialah mengguna mesin getaran (vibrating machine) dan mesin pemanas (heat machine) yang digambarkan akan melonggar dan mencairkan lemak badan.

Ada juga mesin stimulasi otot-otot dengan denyutan elektrik kecil didakwa untuk menguatkan otot-otot tanpa perlu melakukan senaman, seperti contoh otot-otot perut.

Soalan lojik yang patut ditanya ialah lemak yang dilonggarkan atau dicairkan ini nak pergi kemana? Bagaimana lemak yang dilonggarkan ini hendak keluar dari badan? Bagaimana lemak yang dicairkan mengalir keluar dari badan?

Sebenarnya, mesin-mesin gegaran, pemanasan dan stimulasi elektrik ini mempunyai latarbelakang penggunaan dalam sains sukan sebagai sebahagian dari kaedah pemuliharaan (rehabilitation) para atlit dan ahli sukan dari kecederaan. tetapi telah dieksploitasikan penggunaan nya dalam industri kecantikan komersial. Perlu ditekankan lagi, keadah rawatan gegeran, pemanasan dan stimulasi elektrik hanyalah SEBAHAGIAN dari proses rawatan atlit yang cedera, yang termasuk rawatan physiotherapy dan senaman-senaman lain, tetapi pihak komersial telah menggambarkan seolah-olah dengan mengguna kaedah-kaedah ini sahaja anda boleh mencapai kecergasan dan kesihatan. Ini satu gambaran yang tidak tepat dan merbahaya.

Sebagai contoh memang ada kaedah rawatan stimulasi elektrik untuk menggerakkan-gerakkan otot-otot atlit yang cedera, untuk sebagai langkah awal memulihkan kekuatan nya. Tetapi atlit berkenaan masih perlu menjalankan physiotherapy dan senaman fizikal lain untuk memulangkan kekuatan otot-otot kepada tahap asal. Jadi memang ada asas sains dalam kaedah stimulasi elektrik ini tetapi tujuan asal dan kesan nya tidak lah seperti digembar-gembur oleh pihak komersial (contoh dapat otot-otot perut ”six pack” hanya dengan mengguna mesin stimulasi elektrik otot-otot perut).