Nampaknya kecenderungan untuk memaparkan apa yang didakwa teknik-teknik beladiri yang berkesan dalam media masih berleluasa. Cara ianya di “pasarkan” kadang-kadang amat meyakinkan terutama bagi orang yang kurang kemahiran dalam arena beladiri.
Tidak kurang juga masih di paparkan teknik-teknik yang saya istilah kan sebagai “di buat-buat” iaitu teknik yang difikir dan di reka-reka dalam suasana “selamat” dewan latihan dikalangan rakan-rakan latihan tanpa “di uji” dan “di bukti” dalam realiti.
Dalam konteks ini, disini saya syorkan beberapa persoalan yang boleh pembaca guna untuk menilai dan menapis teknik-teknik yang dipaprkan, demi keselamatan diri.
1. Sentiasa tanya “Apa tangan sebelah lagi buat?”
Manusia mempunyai 2 tangan dan dalam realiti kedua-dua tangan ini akan berfungsi.
Kebanyakan teknik yang “di buat-buat” tidak mengambil kira fungsi “tangan sebelah lagi” ini, iaitu tangan yang tidak menyerang. Sesuatu teknik beladiri yang “di buat-buat” nampak cantik dan berkesan tetapi kalau diteliti betul-betul “tangan sebelah lagi” penyerang (biasa nya tangan kiri jika tangan kanan menyerang) mati kaku, tidak berfungsi untuk bertindakbalas. Ini tidak realistik.
Berhati-hatilah sebelum menerima pakai teknik-teknik seperti ini, sentiasalah bertanya “dapatkah tangan yang satu lagi berbuat sesuatu?” Anda mesti mengandaikan dalam realiti kedua-dua tangan penyerang anda akan bertindak.
Bagi ahli-ahli senibeladiri, ambil kira perkara ini dalam latihan anda. Sentiasalah sedar dan peka mengenai “tangan sebelah lagi” pasangan anda. Kalau rasa kurang senang, bertanyalah dengan jurulatih atau guru anda mengenai nya. Saya sendiri, dalam latihan aikido, dengan rakan latihan yang sudah agak lama (3 kyu keatas) akan sentiasa “mengingatkan” mereka, “tangan sebelah lagi” saya akan bertindak “menjamah” badan mereka jika mereka lalai dan terlampau menumpu hanya kepada tangan yang menyerang.
Dalam hal ini saya berterima kasih khasnya kepada Guru Hj Chee Gintal atau lebih dikenali sebagai Chee Bako (silat kibau) dan Abang Ariffin Abang Borhan sensei (aikido aikikai) kerana telah menerapkan nilai realiti ini dalam diri saya.
2. Adakah situasi yang di paparkan seperti keadaan sebenar?
Sebagai contoh, ada teknik-teknik tindakbalas terhadap peragut menunjukkan si peragut dalam keadaan dekat dengan mangsa yang masih berdiri stabil, yang membolehkan mangsa membuat pukulan dan tendangan yang “cantik” untuk menewaskan peragut. Tetapi adakah situasi ini menggambarkan situasi ragut sebenar?
Pada hemat saya, dalam situasi ragut, pada masa kita mengesan bag kita diragut, si peragut sedang bergerak beredar dari kita (moving away) dan mungkin sudah berada agak jauh. Dan dalam kebanyakan keadaan si mangsa dalam keadaan hilang imbangan akibat sentakan si peragut. Dalam keadaan realiti ini umumnya sukar hendak di aplikasi kan teknik pukulan dan tendangan yang cantik tadi.
Menurut pembacaan saya mengenai kes-kes ragut, kebanyakan kes ragut yang dapat dipatahkan ialah si mangsa berpegang kuat kepada beg sambil menjerit meminta tolong, dan peragut dikejar atau ditangkap oleh orang-orang sekeliling yang datang membantu. Amat jarang, walau pun ada, si mangsa mengalahkah peragut dengan teknik-teknik pukulan dan tendangan secara sendirian tanpa bantuan orang lain.
Jadi berhati-hati lah menerimapakai teknik-teknik yang didakwa untuk beladiri yang dipapar dalam media malah yang diajar dalam sesetengah kursus atau seminar beladiri. Sentiasa lah mengambil sikap kritis dan bertanya “berapa realistik kah situasi ini?”.
3. Berhati-hati membuat kuncian jika lawan masih bertapak.
Ada sesetengah teknik yang “di buat-buat” membuat kuncian dalam keadaan lawan masih bertapak atau stabil. Digabungkan dengan “tangan sebelah” diatas tadi, teknik-teknik seperti ini boleh membawa bahaya kepada anda kerana lawan yang masih bertapak boleh bertindak balas dalam anda tengah hendak membuat kuncian.
Sebagai contoh, ada sesetengah “jurulatih beladiri” mengaplikasi teknik kuncian mirip aikido mungkin dengan meniru-niru apa yang dilihat tanpa melalui latihan aikido yang betul. Teknik dibuat dalam keadaan lawan masih stabil bertapak, yang boleh mengundang pelbagai tindakbalas (counters).
Pakar-pakar tempur mengesyorkan, sebelum anda membuat kuncian, samada anda (i) melemah lawan dengan pukulan, atau (ii) menghilangkan imbangan badan lawan. Aliran aikido saito-ryu misalnya mengamalkan atame (pukulan) pertama sebagai kesinambungan teknik, dan kesemua aliran aikido mendahulukan menghilang imbangan badan lawan sebelum meneruskan dengan teknik kuncian atau humbanan seterusnya.
Saya sendiri, dalam latihan aikido dengan rakan-rakan yang sudah agak lama (3 kyu keatas) kadang-kadang counter dengan hanya mengeraskan diri jika merasa mereka lalai dalam menghilangkan imbangan sebelum membuat teknik seterusnya.
Dalam konteks yang lebih besar, memetik ungkapan Guru Abdul Razak Othman atau lebih dikenali sebagai Jak Othman “kalau hendak berlawan dengan knife fighter, belajar lah dari knife fighter”. Belajar lah dari sumber-sumber yang sahih, banyak penghalusan dalam teknik beladiri yang tidak dapat di lihat hanya dengan meniru-niru sahaja.
Jadi jika hendak mengaplikasikan kuncian dalam realiti, berguru atau sekurang-kurangnya mentelaah lah dengan pakar kuncian yang sahih. Teknik kuncian adalah bidang beladiri yang bahaya untuk di aplikasikan jika tidak dibuat dengan betul memandangkan jarak yang amat dekat, malah bersentuhan, diantara kita dan lawan.
4. Sentiasalah bertanya “adakah saya cukup fit dan berkemahiran untuk membuat teknik berkenaan?”.
Sesetengah “jurulatih beladiri” pada hakikatnya menggunakan teknik dalam seni beladiri kemahiran nya untuk “membuat-buat” teknik beladiri yang ditujukan kepada khalayak ramai.
Sebagai contoh, seorang pakar tendangan mungkin “membuat-buat” teknik yang menggunakan tendangan ke paras muka sebagai sebahagian repertoire teknik beladiri nya.
Untuk kita yang bukan pakar tendangan, mungkin kita boleh membuat tendangan ke paras dan menyentuh muka lawan, tetapi adakah kita cukup fit dan berkemahiran untuk memastikan tendangan kita itu memberi kesan kepada lawan kita? Terutama jika kita dalam jarak dekat dengan lawan. (Menimbulkan satu soalan: kalau sudah dekat kenapa masih nak tendang muka, tidak kah ada sasaran lain yang lebih berkesan untuk ditendang?)
Dalam konteks ini, kita hendaklah ikhlas pada diri, ketahui dan akui lah tahap fitness dan skill kita sebelum meniru-niru apa-apa teknik yang dipaparkan dalam media massa.
Dan kepada jurulatih-jurulatih seni beladiri yang hendak mengajar beladiri, ikhlas lah, jangan berfikir di tahap fitness dan skill anda tetapi berfikir lah di tahap fitness dan skill orang umum yang menatap media. Dan ikhlaslah, adakah anda berkelayakan dalam bidang yang anda paparkan untuk tuntunan orang ramai?
Semoga pendapat-pendapat diatas dapat dijadikan bahan berfikir dalam menilai dan menapis teknik-teknik yang dikatakan sebagai beladiri yang dilihat di media samada media cetak atau media elektronik.
Allah hu ‘alam.
Wednesday, July 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment